Ya Allah

“Ya Allah, penuhilah semua permohonanku, mudahkanlah perlaksanaan segala keperluanku. Janganlah Kau tolak memenuhinya sedangkan Engkau telah memberiku jaminan untuk itu. Dan jangan Kau tutup pintu-Mu bagi doaku, sedangkan Engkau telah memerintahkan aku mengetuknya. Dan anugerahilah aku segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagi dunia dan akhiratku. Dan masukkanlah aku ke dalam golongan yang berbuat kebaikan kerana permohonan yang ku ajukan pada-Mu, dan yang beroleh keberhasilan dengan memintanya dari-Mu, yang mendapatkan kurnia dari-Mu kerana bertawakal kepada-Mu. Dan yang mendapat perlindungan kerana melindungkan diri di bawah naungan-Mu”

Jumaat, 11 Februari 2011

Sombong penghalang ke syurga.

Sombong ialah antara sifat mazmumah yang ada dalam diri seseorang manusia. Sifat sombong termasuklah apabila kita memandang rendah kepada orang lain dan menafikan kebenaran yang cuba dinyatakan oleh orang lain. Rasa sombong yang muncul dalam diri manusia itu sering berpunca dari kesalahan mengungkap nikmat yang diberi oleh Allah SWT.Seperti Qorun yang diberi kenikmatan berupa harta yg melimpah ruah. Ternyata nikmat itu tidak menjadikan Qorun sebagai manusia yg bersyukur, sebaliknya menjadi orang yang sombong dan bongkak.Akibatnya dia dibinasakan oleh hartanya sendiri. Semuanya dengan kekuasaan Allah.
"Maka kami benamkan Qorun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolong terhadap azab Allah...." (Al Qhasash (28):8)

Dari Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah bersabda, "Tidak dapat masuk syurga orang yang dalam hatinya ada rasa sombong walaupun hanya seberat debu"

Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda,
"Tidak dapat masuk neraka seseorang yang ada iman dalam hatinya, walaupun hanya seberat biji sawi. Dan tidak akan masuk syurga orang yang terdapat dalam hatinya kesombongan, walaupun hanya seberat biji sawi." (Riwayat Muslim)

Qatadah berkat Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Siapa-siapa yang meninggal dunia, sedang ia bebas dari tiga perkara, pasti masuk syurga. Tiga perkara itu ialah: sombong, dengki/khianat dan hutang.."

Sesungguhnya orang-orang yang sombong akan dicampakkan Allah ke dalam neraka jahanam.
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Al A'raaf(7) 36)

Sesungguhnya sifat sombong dan angkuh itu tidak pernah mendatangkan keuntungan, sebaliknya kerugian di dunia dan akhirat.

Selasa, 4 Mei 2010

ANTARA KETAWA DAN DUKA

Gembira dan sedih adalah naluri semula jadi manusia. Umumnya kita memang digalakkan hidup gembira, bahagia dan tenang selalu. Namun gembira juga harus berpada-pada. Bergelak ketawa juga tidak salah tetapi biarlah ada batasannya. Jangan terlalu banyak ketawa sehingga melalaikan diri. Sebaik-baiknya ingatilah juga kesilapan lalu dan kesali segala kemungkaran yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak.

ALLAH berfirman yang bermaksud:

"Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (at-Taubah: 82)

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Hurairah, diceritakan bahawa pada suatu ketika, Rasulullah berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-NYA. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Malah Sayidina Umar al-Khattab juga pernah mengingatkan manusia, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada ALLAH. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada ALLAH.

Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang hilang takut kepada ALLAH!