Ya Allah

“Ya Allah, penuhilah semua permohonanku, mudahkanlah perlaksanaan segala keperluanku. Janganlah Kau tolak memenuhinya sedangkan Engkau telah memberiku jaminan untuk itu. Dan jangan Kau tutup pintu-Mu bagi doaku, sedangkan Engkau telah memerintahkan aku mengetuknya. Dan anugerahilah aku segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagi dunia dan akhiratku. Dan masukkanlah aku ke dalam golongan yang berbuat kebaikan kerana permohonan yang ku ajukan pada-Mu, dan yang beroleh keberhasilan dengan memintanya dari-Mu, yang mendapatkan kurnia dari-Mu kerana bertawakal kepada-Mu. Dan yang mendapat perlindungan kerana melindungkan diri di bawah naungan-Mu”

Selasa, 4 Mei 2010

ANTARA KETAWA DAN DUKA

Gembira dan sedih adalah naluri semula jadi manusia. Umumnya kita memang digalakkan hidup gembira, bahagia dan tenang selalu. Namun gembira juga harus berpada-pada. Bergelak ketawa juga tidak salah tetapi biarlah ada batasannya. Jangan terlalu banyak ketawa sehingga melalaikan diri. Sebaik-baiknya ingatilah juga kesilapan lalu dan kesali segala kemungkaran yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak.

ALLAH berfirman yang bermaksud:

"Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (at-Taubah: 82)

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Hurairah, diceritakan bahawa pada suatu ketika, Rasulullah berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-NYA. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Malah Sayidina Umar al-Khattab juga pernah mengingatkan manusia, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada ALLAH. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada ALLAH.

Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang hilang takut kepada ALLAH!