Ya Allah

“Ya Allah, penuhilah semua permohonanku, mudahkanlah perlaksanaan segala keperluanku. Janganlah Kau tolak memenuhinya sedangkan Engkau telah memberiku jaminan untuk itu. Dan jangan Kau tutup pintu-Mu bagi doaku, sedangkan Engkau telah memerintahkan aku mengetuknya. Dan anugerahilah aku segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagi dunia dan akhiratku. Dan masukkanlah aku ke dalam golongan yang berbuat kebaikan kerana permohonan yang ku ajukan pada-Mu, dan yang beroleh keberhasilan dengan memintanya dari-Mu, yang mendapatkan kurnia dari-Mu kerana bertawakal kepada-Mu. Dan yang mendapat perlindungan kerana melindungkan diri di bawah naungan-Mu”

Selasa, 4 Mei 2010

ANTARA KETAWA DAN DUKA

Gembira dan sedih adalah naluri semula jadi manusia. Umumnya kita memang digalakkan hidup gembira, bahagia dan tenang selalu. Namun gembira juga harus berpada-pada. Bergelak ketawa juga tidak salah tetapi biarlah ada batasannya. Jangan terlalu banyak ketawa sehingga melalaikan diri. Sebaik-baiknya ingatilah juga kesilapan lalu dan kesali segala kemungkaran yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak.

ALLAH berfirman yang bermaksud:

"Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (at-Taubah: 82)

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Hurairah, diceritakan bahawa pada suatu ketika, Rasulullah berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-NYA. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Malah Sayidina Umar al-Khattab juga pernah mengingatkan manusia, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada ALLAH. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada ALLAH.

Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang hilang takut kepada ALLAH!

Ahad, 18 April 2010

KEIKHLASAN HATI

Dalam apa jua perbuatan kita termasuklah amalan yang kita lakukan ia perlulah lahir dari hati yang ikhlas. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Maka kecelakaanlah bagi mereka yang solat, (iaitu) mereka yang lalai dari solatnya. Yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang (riak)- Surah Al-Makdun ayat 4-6.

Mereka yang ikhlas akan mendapat kedudukan yang istimewa di hari akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Di antara mereka yang duduk di bawah naungan arasy Allah, pada hari yang tidak ada sebarang naungan melainkan naungan-NYA ialah, seorang lelaki yang bersedekah dengan tangan kanannya sehingga tersembunyi dari tangan kirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan amal ibadah akan mendapat dosa dan kehinaan. Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: "Sedikit dari riak ketika beramal adalah syirik...". (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Hakim)

Di dalam Ihya Ulumuddin diriwayatkan Saidina Ali r.a. berkata:" Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riak) mempunyai tiga tanda iaitu:
1. Apabila bersendirian, malas beribadah. Sebaliknya, apabila berada bersama-sama dengan orang ramai, dia menjadi rajin.
2. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan
3. Apabila dipuji, dia menambahkan amalannya.

Rasulullah s.a w. telah bersabda:
"Di hari kiamat mereka yang riak akan dipanggil dengan gelaran- Wahai orang-orang yang keji, wahai pengkhianat, wahai orang yang suka menunjuk-nunjuk". (Riwayat Ibn Abi Dunya)

Sabtu, 27 Mac 2010

FITNAH PAKAIAN DAN UJIAN KEIMANAN

Sayidatina Aisyah r.ha pernah memarahi beberapa orang wanita dari Bani Tamin yang datang menziarahi beliau dengan pakaian yang sangat nipis. Beliau berkata, "kalau kamu orang Mukmin, maka bukan begini pakaiannya orang-orang perempuan Mukmin itu".(Riwayat Thabrani dan lain-lain)

Pada ketika yang lain Sayidatina Aisyah r.ha pernah menegur seorang pengantin baru dengan katanya, "Perempuan yang memakai kain tudung seperti ini(singkat dan tipis) bererti tidak beriman dengan surah an-Nur".

Sabda Nabi s.a.w,"Sesungguhnya termasuk ahli neraka itu, iaitu wanita-wanita berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat kejahatan. Mereka ini tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya". (Riwayat Muslim)

Betapa ramainya wanita dan anak gadis hari ini yang telah menutup aurat tetapi masih belum sempurna dari segi pelaksanaannya dan tidak mematuhi syariat.Ramai wanita bertudung tapi tudungnya jarang sehingga menampakkan tengkuk, telinga dan bahagian dada. Ada yang memakai tudung litup tetapi bahagian bawah telinga dikeluarkan untuk menampakkan perhiasan yang bergayut di telinga. Anak-anak gadis pula memakai T-shirt ketat berlengan pendek dan bersarung lengan yang menampakkan susuk tubuh dan lengan hingga ke pangkalnya. Bahagian hadapan tudung tidak dilabuhkan dan singkat di atas bahagian dada.Begitulah cara pemakaian menutup aurat yang boleh diperhatikan dalam masyarakat hari ini.

Lalu bagaimanakah ciri-ciri penutupan aurat wanita Mukmin yang sempurna dan mengikut syariat Islam?
Pakaian yang disarungkan ke badan perlulah longgar dan tidak jarang. Sekiranya memakai seluar panjang, baju perlulah berlengan panjang dan labuh baju melepasi bahagian pinggul. Tudung perlu dilabuhkan bahagian hadapannya hingga melepasi bahagian dada dan tidak jarang.

Allah s.w.t memberi peringatan, "Katakanlah: Mahukah Kami khabarkan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugikan perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya waktu hidup di dunia, sedang mereka mengira bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya'. (Al-Kahfi 103-104).

Takutilah dengan janji Allah seperti dalam surah Al-Maidah ayat 44 hingga 47 yang menjelaskan bahawa orang yang engkar dengan hukumnya akan jatuh kepada salah satu daripada tiga golongan sama ada kafir, zalim atau fasik.

Renungkanlah....